Tuesday, 4 September 2012

CERITA HOBI LAGI....



Hobi saya memang banyak! Beberapa tahun lalu, membaca novel pun antara hobi di masa lapang saya. Tapi sekarang ia ditinggalkan perlahan-lahan memandangkan usia yang semakin meningkat. Tentunya membaca AlQuran dan buku agama jauh lebih berfaedah bagi orang yang seusia ini. Tapi jika bercuti panjang, ada masanya masih membaca juga satu dua yang dipinjam dari anak-anak buah. Jika minggu-minggu bekerja, memang padat betul jadual hingga tiada masa nak melayani hobi. Jadinya, bila pulang ke rumah, antara cara merehat dan melapangkan fikiran ialah dengan merenung  hasil kerja-kerja kraf dan dekor yang dibuat sendiri sebelum ini. Gambar-gambar cross stitch yang dibuat dulu tidak pernah jemu dipandang. Begitu juga dengan koleksi pinggan mangkuk lama(PML). Cuma sekarang tidak berupaya lagi untuk menambah koleksi PML ni sebab harganya sudah melambung tinggi. Bunga-bunga juga amat digemari tak kira yang hidup atau tiruan. Bila terlihat rakan baik, MM meletakkan gambar bunga di FB nya, hatiku jadi berbunga-bunga. 
Jadinya, memadailah dengan mencuci dan menggubah semula bunga tiruan yang ada di rumah ni. Namanya kan hobi.Nak membeli baru membazir pula. Basuh dan susun semulalah yang sedia ada ni. Selalunya akan dilakukan satu atau dua kali setahun. Inilah hasilnya yang dibuat sebelum Aidilfitri tempohari.












    

Sebenarnya, tak cantik mana pun tapi bagi seorang yang tak pro, amatur pun belum, ia sudah menceriakan hati ini. Kalau bunga fresh tentu lebih menarik tambahan jika ada garden sendiri yang dihiasi bunga-bunga hidup. Disebabkan minat yang inilah, saya amat suka berkunjung ke
Cameron Highland. Tak pernah jemu walau berulang kali. Tempat lain yang digemari sudah tentu SSF, Ikea dan A to Z sekadar mencuci mata.










Saturday, 1 September 2012

LAMANYA MENYEPI.....


Salam...

Dah lebih tiga minggu menyepi dari blog. Kesian rumahku ini tidak dipedulikan. Hari ni menggagahkan diri, membuang virus M yang melanda sekian lama. Harapnya masih ada yang sudi membaca cerita merapu meraban saya yang entah apa-apa. Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada sesiapa saja yang sudi membaca blog ini. Raya kan sepanjang bulan Syawal. Kepada yang sedang menjalani ibadah puasa Enam bulan Syawal dan yang telah menyelesaikannya, semoga diterima ibadah dan beroleh ganjaran pahala yang Allah janjikan. Memang rugi  besar jika tidak dilakukan sekiranya kita berupaya.

Semalam, 31 Ogos, sempena cuti merdeka, rakan-rakan sekerja merancang berhari raya bersama-sama. Rumah saya tak tertinggal dari senarai mereka. Jadi kenalah menyediakan serba sedikit menu yang ringkas-ringkas untuk dihidangkan. Kelam kabut juga dibuatnya sebab semuanya dimasak sendirian maklumlah tak ada pembantu. Beginilah kalau tak ada anak perempuan dan menantu pula bekerja jauh. Buat semula choc chip cookies sebab kuih raya dah habis. Lepas tu, sediakan pula dua biji kek cheese yang dikukus dan dibakar ditambah dengan puding disamping menu utama. Mujurlah semuanya dapat diselesaikan sebelum tetamu datang mulai 10.30 pagi.




                   Ini lah saja juadah yang sempat disediakan. Macamana rasanya tak taulah.



                                         Wah! berposing sakan sebelum acara makan-makan.

       Cikgu Zainab dan adiknya yang banyak membantu mengemas dan mencuci pinggan mangkuk.    Terima kasih banyak-banyak.

                                       Giliran bertandang ke rumah cikgu Zubaidah.

                                Gelap pula gambar ni maklumlah guna handset saja.

Selesai jamuan raya, barulah terasa letih teramat sangat. Lenguh seluruh urat saraf. Tapi tak apalah sebab raya kan setahun sekali saja.  Terima kasih kepada yang banyak membantu mengemas kembali selepas jamuan terutama Anis, Zainab dan adiknya juga guru-guru praktikal UPSI. Kepada semua yang sudi datang, terima kasih banyak-banyak dan jangan serik ya.Pukul 3.45, saya bertolak pula ke Shah Alam sebab ada urusan keluarga. Sehingga hari ini, belum lagi sempat menjemput jiran-jiran rapat ke rumah sebab kekangan masa. Niat tu memang ada, harapnya adalah masa tu.

Salam Aidilfitri dan Selamat Hari Merdeka!

Friday, 17 August 2012

BELUM SELESAI...


Banyak betul kerja yang nak dibuat. Sudahlah tiada seorang pun pembantu, semua urusan dibuat sendiri. Rumah masih semak dan tak terurus. Mujurlah semalam dan hari ini cuti. Tapi bila difikir nak mengganti cuti tu semula, haii... lebih baik pula jika tak cuti. Bila ada di rumah,dapatlah menyiapkan kuih-kuih raya ni. Ikutkan hati, memang malas nak membuatnya tapi kerana anak yang minta, terpaksalah menggagahkan diri.

                               Biskut Coklat Chips. Resepi yang wajib ada setiap tahun.

Biskut Nestum yang resepinya telah ditepekkan pada entri lepas. Bentuk kukis seakan sama saja, maklumlah nak cepat, semuanya dicampak-campak saja dalam oven.

Satu lagi request dari anak ialah Tat Nenas. Nenas dah dibeli tapi belum lagi diproses. Entahlah ada masa ke tidak, maklumlah, esok pastinya lebih sibuk dengan aktiviti lain. Nak kemas rumah, nak buat kek, nak memasak lagi, memang tak menang tangan.


London Almond, satu lagi kukis yang wajib ada sebab ramai yang suka. Resepi rasanya, semua orang tahu tapi yang ini saya beli saja sebab cara membuatnya yang agak renyah emnyebabkan saya malas menyediakannya.

Tukar Channel.........

Walau masih ada sehari lagi untuk kita berpuasa, tapi rasa nya taklah terlalu awal untuk saya memohon maaf kepada sesiapa yang membaca blog ini dan mengenali diri saya. Tak pandai nak buat kad raya pun, jadi google saja yang sedia ada. Harap tuan punya mengizinkan.
               

    


Moga segala amalan kita sepanjang Ramadhan kali ini diterima olehNya. Oleh itu, sehari terakhir yang tinggal ini, sama-sama kita imarahkan semaksima yang termampu. Kita sambut kedatangan Syawal dengan kesyukuran atas kejayaan setelah sebulan berpuasa. Sama-samalah nanti kita isikan Syawal kita dengan amalan sunat berpuasa enam. Moga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik. Aminn..

Tuesday, 14 August 2012

PROJEK RAYA..



Salam, Nampaknya, tinggal lima hari sajalah lagi kita berada di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Hariraya AidilFitri kian menghampiri. Mau tak mau, walau malas macamana pun, projek untuk raya harus dimulakan jua. Anak-anak siap menelefon minta dibuatkan biskut itu ini. Tahun-tahun lalu, mereka tak kisah sangat nak membawa bekal kuih & biskut bila pulang semula ke tempat mereka selepas raya nanti. Walhal masa tu, kita rajin bukan main mengukis dan membakar ni. Tapi,lain pula kali ini, siap bagi tau awal-awal. Kita pula,mood tak datang-datang. Malas teramat sangat. Baru malam minggu lalu, menggagahkan diri memulakan projek. Tak siap malam, sambung pula ke pagi. Inilah hasilnya......


      Biskut Samperit, resepi lama yang masih digemari oleh sesetengah orang termasuklah diriku. Bunganya memang 'fail' kelopak pun tak seimbang.

Ini resepi pemberian Pn Latipah Meor (Versi gebu dgn penggunaan byk telur. Tak sesuai bagi yang tak suka telur tapi jika gemar samperit gebu, cubalah yang ini)

Bahan-bahan:

Butter secukupnya (anggaran sebuku lebih sedikit)
150 gm gula icing
1 tin tepung jagung Brown & Polson
80 gm tepung gandum
4 biji kuning telur
Sedikit esen Vanilla

Cara-cara:

Pukul butter dan gula sebentar saja. Masukkan kuning telur dan esen, pukul sedikit lagi. Jangan diputar lama, takut adunan jadi terlalu lembut.  Gaulkan bersama tepung-tepung dan tekan dengan acuan samperit. Bakar.

Resepi Samperit ini pula pemberian Kak Patimah Alyafie. Terima kasih banyak-banyak. Sah-sah sedap bagi yang sukakan samperit agak rangup.


Biskut Samperit

Bahan-bahan:

2 cawan butter
13/4 cawan gula icing
2 cawan tepung jagung
2 cawan tepung ubi
2 cawan tepung gandum
2 biji kuning telur
Sedikit esen vanilla

Cara-cara:

Sama seperti di atas.

Bercadang nak buat satu adunan lagi menggunakan resepi ini.

       Biskut Bugis. Lagilah buruk rupanya sebab versi nak cepat siap tapi bila dimakan rangup krup krap. Tak adalah nak berterap beracuan bagai. Cuma canai dan potong dengan pisau, sekejap saja siap. Silap-silap tengok rupa kuih, tak teringin orang nak makan.

Ingat lepas ni nak buat biskut nestum dan biskut coklat chips pula. Tepek resepi dulu untuk rujukan sendiri. Fotonya kemudian. Resepi sumbangan Maklang Azie. Terima kasih banyak-banyak.



Biskut Nestum

Bahan-bahan :

250 gm butter
100 gm chocolate chips
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung
3 cawan nestum
1 cawan gula caster
1 biji telur
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya :

1. Pukul butter dengan gula hingga putih.
2.Masukkan telur dan esen vanila... kacau sebati
3.Masukkan semua tepung dan nestum... masukkan kismis... uli hingga sebati
4.Bentukkan dan bakar dalam oven selama 15 minit dengan suhu 165'c(ikut oven). 



Memang kena marathonlah dua tiga hari ni. Mana nak kemas rumah lagi. Hari-hari pergi kerja, sah-sah rumah macam tongkang pecah. Dan yang paling utama, untuk diri sendiri dan seluruh umat Islam juga, walau busy macamanapun, ganjaran sepuluh hari/malam terakhir Ramadhan mesti direbut juga. Moga kita dikurniakan kesihatan yang baik untuk melakukan kesemuanya..



Friday, 10 August 2012

DUA MINGGU SUDAH...



Dah bersawang nampaknya blog ku ini. Dua minggu lebih tidak dipedulikan. Tak ada apa yang hendak diceritakan pun. Putaran jam di bulan puasa ini pula terasa sangat pendek dan berlalu dengan pantas sekali. Baru saja lepas bersahur, tau2 dah senja. Beberapa hari ni, demam selsema dan batuk melanda. Sepanjang masa badan terasa letih dan mata asyik nak terlelap. Lagilah malas dibuatnya.  Hidung asyik tersumbat, tak puas bernafas. Jadinya, masak pun malas, apa lagi nak membuat kuih raya. Kelmarin dulu, ini saja hidangan yang larat dimasak. Paling simple, main campak-campak saja. Untuk makan diri sendiri, kebetulan hbby berbuka di surau.


                                                Bihun sup paling ringkas dan kurang bahan.

Semalam, pertama kali menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan. Pertama kali juga membeli juadah berbuka sepenuhnya dari lauk, kuih sehingga ke minuman. Tapi, bila berbuka tak habis dimakan pun. Tak semua sesuai dengan selera kita selain dari duit yang banyak habis untuk membeli. Mujurlah, belakang rumah ada banyak kucing, jadi tak lah dibuang semuanya. Lauk pauk tu jadi rebutan kucing pula. Hari ini, walau malas dan tak sihat, tetap akan memasak sendiri juga.

Tinggal lapan hari lebih kurang saja lagi kita berpuasa. Ramadhan sudah menuju ke penghujungnya. Terasa sayang dan sayu di hati bila Ramadhan hampir berlalu pergi. Inilah bulan yang sangat istimewa yang hanya kita lalui setahun sekali sahaja. Malam-malam terakhir Ramadhan ini adalah waktu yang sangat makbul doa kita jika dipohon dengan ikhlas beserta amal ibadat dan diizinkan oleh Allah. Malam Lailatul Qadar amat dinanti-nantikan. Mudah2an kita sama-sama mendapat ganjaran istimewa di malam tersebut. Moga dipanjangkan juga umur kita dan dikurniakan kesihatan yang baik sehingga ke Ramadhan di tahun-tahun akan datang, aminn.......
Jadi, untuk lapan hari terakhir ini, harapnya sihatlah tubuh badan untuk mengisi waktu-waktu yang amat bermakna bagi seluruh umat Islam.

Selamat meneruskan ibadah puasa.

Thursday, 26 July 2012

HARI KELIMA BERPUASA.


Lama betul tak update blog. Sedar tak sedar, dah lima hari kita berpuasa. Sekejap pulak rasa nya. Bagi kita orang dewasa ni, memang sukakan bulan puasa. Kalau boleh, biar lama pun tak apa. Sayang nak tinggalkan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Tapi lain pula halnya dengan anak-anak kita terutama yang masih bersekolah. Mereka nampak letih tambahan bila cuaca panas. Memang itulah ujian untuk orang yang berpuasa kan. Kelas tu memang senyaplah sedikit kecuali yang bukan Muslim. Senang nak kawal disiplin. Mana yang masih cergas sangat, agaknya tak puasalah tu. Wallahua'lam.

Setakat ini, berbuka dengan menu yang simple-simple saja. Sehingga hari ini, belum lagilah menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan. Belum berkeinginan bila melihat keadaan yang sesak dek terlalu ramai orang. Jadinya, kenalah ke dapur, buat juadah sendiri. Sedap ke tidak, telan jugalah. Menu saya untuk hari ke 5 berpuasa ni ialah......


Petang ni cuma menggoreng bihun, menebar jala bersama kuah kari lebihan semalam dan juga kuah durian. Buah kurma dah tentu ada dan sampingannya buah tembikai. Memang tak makan nasi lah hari ni. Roti jalanya pucat je, tak sempat nak mewarna bagai, maklumlah, pukul 7.15 baru nak menjala. Esok, nak makan apalah agaknya pulak. Nak tunggu kut dapat ilham dalam mimpi malam ni.....

Selamat berpuasa. Azam untuk diri sendiri, nak mengelakkan pembaziran.

Saturday, 21 July 2012

SALAM 1 RAMADHAN

Malam ini bermulalah bulan Ramadhan, bulan yang kita nanti-nantikan kedatangannya. Bergembiralah umat Islam kerana diberi peluang oleh Allah untuk mengumpul sebanyak mana pahala yang dijanjikan selagi termampu oleh kita. Bersama-samalah kita berpuasa menahan lapar dan dahaga yang diwajibkan keatas kita disamping bertadarus, bertahajud, berzikir, bertarawih dan lain-lain yang mana mampu kita kerjakan. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan untuk kita.

Hari ini (Jumaat), rakan-rakan di sekolah masih sempat mengadakan 'pot luck' sempena menyambut puasa. Masing-masinglah membawa aneka juadah sampai tak termakan kerana terlalu banyak. Macam biasa, saya cari yang paling mudah disediakan. Kebetulan ada kawan yang 'request'. Jadinya, inilah yang saya bawa siang tadi. Bahan-bahan memang sedia ada di rumah, so taklah susah membuatnya. Rupa macam selalulah, tak cantik langsung. Rasanya pula, pada saya ok lah tapi kawan-kawan semua suka. Alhamdulillah, habis licin mereka bedal.



Lepas ni, berbungkuslah dulu oven saya. InsyaAllah, seminggu sebelum raya barulah akan beroperasi semula. Masa tu memang akan terlalu aktif lah sebab saya jarang membeli biskut raya atau kek. Kalau beli pun sikit-sikit saja. Selebihnya akan buat sendiri, walau rupanya tak cantik tapi rasanya, family terutama anak-anak suka. Jadi berbaloilah berpenat lelah, bila habis dimakan. Sementara waktu ni, lupakan dulu oven dan segalanya. Yang penting, kelebihan Ramadhan tak boleh disia-siakan.

Selamat mengerjakan ibadah puasa. Semoga amalan kita diterima dan dosa diampunkan olehNya. Aminn.