Friday 19 July 2013



DAH TERLEBIH RAJIN PULAK NI...

Hari ni mood mengupdate blog sedang di aras tertinggi. Sebelum ia merudum semula ke tahap kritikal, lebih baik cepat-cepat mencatat apa yang teringat dalam kepala. Disebabkan hariraya dah tak lama lagi, resepilah pilihan utama bertakhta di sini. Resepi ni wujud dedulu lagi masa saya di awal secondary school. Masa tu, punyalah kemaruk dengan biskut ni tapi lepas tu bertahun-tahun resepi ni lesap. Beberapa bulan lalu masa berkemas rumah terjumpalah pula. Bunyinya macam hebat sangat kan... walhal resepi biasa-biasa saja. Kena catat juga kat sini untuk rujukan sendiri, takut nanti hilang semula. Nak letak gambar, tak ada pulak gambarnya sebab masa buat dulu-dulu, kamera pun belum beli maklumlah budak sekolah lagi, handphone belum wujud apatah lagi internet. Ini sajalah yang ada.

BISKUT ONDE-ONDE

 Bahan-bahan :

1 cawanbutter
1 cawan gula halus
2 biji telor asingkan putih dan kuningnya.
1 tin kelapa kering
1 cawan tepung kastad
1 cawan tepung jagung
2 cawan tepung naik sendiri
Sedikit esen vanilla dan pewarna hijau.
Kismis atau sultana untuk dijadikan inti

Cara-caranya:

Pukul butter dengan gula, kemudian masukkan kuning telor, esen vanilla dan pewarna hijau. Bila dah rata masukkan tepung-tepung tadi dan uli sampai sebati. Adunan akan jadi lembik tetapi jangan ditambah tepung. Biarkan beberapa minit. Kemudian bentukkan bulat dengan meletakkan kismis sebagai inti. Leperkan sedikit, sapu putih telor dan golekkan di atas kelapa kering. Kemudian bolehlah di bakar.

Punyalah antik biskut ni sampai sukatan nya pun masih menggunakan cawan. Kalau nak biskut yang kurang memerlukan beraneka bahan dan modal pun jimat, bolehlah membuat yang ini. Tapi kalau ada  duit, lebih baik tunjuk-tunjuk saja dan dapatlah cookies yang cantik-cantik.

Wednesday 17 July 2013


LAMANYA MENGHILANG ...KEMANA YA?

Oh! tidak kemana -mana... hanya mood berblog semakin menipis...nipis...

Salam...Selamat beribadat di bulan Ramadhan yang penuh barakah. Bulan yang lain pun kita beribadat juga tapi di bulan ini, kenalah gandakan lagi kerana pahalanya juga berganda-ganda (pesanan untuk diri sendiri sebenarnya). Lepas berbuka selalunya akan terasa letih ditambah dengan kekenyangan, sebab tulah kena selalu mengingatkan diri akan kelebihan bulan Ramadhan, jangan sampai ia berlalu sia-sia.

Tak lama lagi nak raya, jadi mula lah nak update resepi sebagai rujukan untuk diri sendiri dan rakan-rakan yang rajin nak membuatnya. Ada banyak versi resepi ni sebenarnya tapi perbezaan cuma sedikit-sedikit saja.. Saya dah cuba berbagai versi dan memang menjadi. Bezanya cuma dari segi kelembutan dan kemanisannya.

 

KEK KARAMEL

Bahan-Bahan:

2sudu gula pasir utk buat karamel
(tabur dalam loyang kek dan bakar dalam oven sampai berwarna kuning-coklat)
*Keluarkan dari oven dan sejukkan.

Bahan A
300 gm susu cair
90 gm gula pasir
1 sudu teh esen vanilla atau esen pandan
5 biji kuning telor gred A
*Kacau kesemuanya dalam satu mangkuk menggunakan whisk sahaja sampai gula hancur. *Kemudian tuang ke dalam loyang karamel yang telah pun sejuk tadi. Ketepikan.


Bahan B
70 gm gula pasir
3 biji kuning telor
*pukul dulu dengan tangan sebentar.

140 tepung gandum
1 sudu teh baking powder
*ayak bersama.

135 gm air
45 gm minyak jagung.
*masukkan tepung dalam adunan telor sambil dikacau dengan whisk, tambah air sedikit-sedikit sampai adunan sebati. Akhir sekali masukkan minyak jagung dan kacau sebati.

Bahan C
5 biji putih telor
70 gm gula pasir
½ sudu teh cream of tartar (saya ganti dengan secubit garam sebagai alternatif kerana bimbang cream of tartar tidak halal)
*Pukul perlahan dulu sekejap kemudian bergerak ke kelajuan paling tinggi sampai jadi meringue. Bila ditelungkup bekas, adunan tak jatuh.

Akhir sekali gaul B dan C sampai bersatu dan tuang ke dalam acuan berisi karamel tadi. Acuan jangan digris. Bakar secara kaedah steam-bath atau bain-marie.

Saturday 20 October 2012

BER 'WEEKEND' d CAMERON / KL


Sekarang, jadi cikgu memang agak tension, kerja bertimbun-timbun. Belum habis yang satu, sudah datang yang lain. Selalunya, bertimpa-timpa pulak tu. Jadi, untuk meredakan kepala, setiap kali hujung minggu, mulalah berkira-kira nak menyenangkan hati. Jadilah, dapat bertenang selama 2 hari. Hari Isnin, tegang semula.

Dua minggu lepas ke Cameron Highlands. Saya memang suka sangat kalau ke sana. Keadaan redup di kelilingi tumbuhan hijau, sayur2an, ladang teh, strawberri dan bunga2an menyejukkan pandangan dan jiwa. Cuaca sejuk menjelang petang dan semakin sejuk pada malam hari memang saya sukai. Baliknya, adalah membeli sedikit sayuran dan karot. Hari ni baru menghabiskan karot tu.

               Kek karot yang dibuat pagi ni, ter'perang' sedikit keadaannya. Baru keluar oven.

   Dah di'topping'kan dengan cheese cream tapi punyalah hodoh. Kenalah 'make up' kan sikit dengan  strawberri kering. Kalau karot kering tak elok pulak.

          Siap sedia untuk dibaham oleh anak yang sedang bercuti panjang di rumah sekarang ni.       Rasanya, esok akan habislah ditelannya.







 Bunga-bunga berkembangan.

 Minggu lalu ke Puncak Alam dan Kuala Lumpur. Sempat juga berjalan-jalan sekadar mencuci mata.
 



                                                Penat jalan, singgah makan-makan pulak.

Minggu ni tak kemana-mana pun sebab dompet dah rabak dan teres sana-sini. Duduklah dulu senyap-senyap di rumah.

Selamat berhujung minggu......

Friday 19 October 2012

REQUEST RAKAN SEKERJA...

Salam Pagi Jumaat yang mulia...

Hari ni tetiba datang mood nak mengupdate blog yang sudah lama dipinggirkan. Sekarang memang dah kurang sangat membuka blog sendiri apatah lagi nak berjalan-jalan ke rumah orang. Mungkin bila tiba cuti agak panjang 3 minggu lagi, insyaAllah akan diaktifkan semula. Hari ni terajin pun, sebab kawan nak minta resepi kek coklat yang telah dibuat beberapa minggu yang lalu... lama dah pun sebenarnya. Dia nak buat untuk Raya Haji katanya. Resepi ni telah saya ubahsuai sedikit dari resepi asal yang diperolehi dari internet juga dulu.


Kek Coklat (kukus atau bakar)

Bahan A

250gm butter
1/2 cawan gula kastor
2 biji telor A
1 cawan susu pekat / susu creamer pekat manis

Bahan B 

1 3/4 cawan tepung gandum
1/2 camca teh baking powder
1/2 camca teh soda bicarbonate
1 cawan serbuk koko/serbuk coklat

Bahan C

1 kotak susu coklat jenama Dutchlady atau lain-lain (kotak kecil saja)
1 bungkus sedang biskut oreo
(buang creamnya dan dipatah2kan kecil dengan tangan, jangan diramas )

Cara-caranya:

- Pukul butter dengan gula sampai putih. Kemudian masukkan telur satu persatu sambil diputar lagi hingga kembang dan ringan. Campurkan susu pekat dan putar lagi sampai sebati.

- Ayak kesemua bahan B bersama.

-Masukkan Bahan B kedalam adunan butter tadi secara berselang seli dengan susu coklat. Akhir sekali, masukkan serpihan biskut oreo tadi dan sekadar digaul rata sahaja.
Alas acuan dengan kertas minyak dan griskan. Tuang adunan dan bakar atau kukus selama 1 jam lebih kurang. Lepas tu bolehlah diletak topping coklat jika suka atau dihidangkan begitu saja. 
(Boleh juga ditambah kismis hitam jika suka)

Wednesday 10 October 2012

SALAM..



Lama tak update blog. Jiwa semak! .... Kerja terlalu banyak sampai tak tau nak mula yang mana dulu. Setiap hujung tahun, macam nilah, sibuknya kalah ketua kampung. Mana tidaknya, masa awal2, menunda kerja. Bila dah nak hujung tahun baru kelam kabut, PBS tak siap lagi, kad sulit belum diisi,
mana yang kena diisi online jg belum beres, borang prestasi pun kena lengkapkan, soalan periksa kena sedia dan macam2 lagi. Nanti lepas budak2 periksa, nak kena semak jawapan pula, paling berat paper essay lah, pening kepala. Sudahnya, blog ni rehat panjanglah jawabnya.

Ini saja yg dapat dihidangkan untuk santapan minda kali ini...Bismillah Lima, tidak terlalu panjang untuk dihafal, amalan untuk diri dan anak2.
         


                        Foto: Selamat beramal..Bismillah 5..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Dengan nama Allah yang Menyembuhkan
Dengan nama Allah yang Mencukupi
Dengan nama Allah yang memberi Kesejahteraan
Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat sesuatu di bumi juga di langit
dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ..

Saturday 29 September 2012

Saturday 15 September 2012

SALAM PETANG SABTU...


Selamat bercuti dan berhujung minggu. Kebetulan cuti tiga hari lamanya, maka ramailah orang yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan kenduri kahwin dan ada juga yang masih membuat jamuan rumah terbuka raya di hari-hari terakhir bulan Syawal ini. Selamat datang Zulqa'edah, bulan yang kesebelas dalam kalendar Islam. Sekarang ramai orang Islam sudah mula bertumpu ke kota suci Mekah untuk mengerjakan haji. Moga segalanya dipermudahkan untuk kita dimana jua kita berada.
Cuti kali ini nampaknya duduk di rumah sajalah. Nak bercuti kemana-mana, anak pula ada di rumah yang kebetulan pulang untuk cuti tiga hari ni. Nak ajak dia ikut sekali jalan-jalan, homework dan assignmentsnya bertimbun. Nampaknya taklah dia bercuti pun tapi sekadar menyiapkan kerja di rumah dan bukan di asrama.

Sekarang nak cerita pasal cookies yang dibuat semalam. Dalam sibuk-sibuk ke sekolah tu, sempat lagi membakar cookies ni. Ikutkan letih memanglah, tapi membaking ni pun hobi juga, jadi bila tengok hasilnya, seronok pula. Ini sebenarnya nak bekalkan untuk anak-anak balik Isnin ni. Kebetulan sebelum raya hari tu, membeli bahan-bahan kuih ni banyak bukan main, malangnya tak sempat membuatnya sebab sibuk sebelum raya tu.


Anak yang sulung tu memang suka sangat cookies jenis yang rangup. Stock nya sentiasa ada untuk kudapannya setiap hari. Kalau habis, sibuklah dia suruh kita buatkan. Antara resepi biskut rangup seperti di bawah:-

CRUNCHY NUTS & CORNFLAKES COOKIES

Ingredients:



300 grams butter
150 grams castor sugar
2 tsp vanilla essence

100 grams almond nibs or hazel nuts (toasted)
120 grams cornflakes
100 grams chocolate chips
300 grams all purpose flour
1 tsp emplex
 
Method:

Beat butter and sugar until smooth. Add in vanilla essence.
Add sifted flour, nuts and cornflakes.
Finally, add chocolate chips. Mix well.
Preheat oven to 165C
Bake in the hot oven for about 15 to 20 minutes.

Boleh juga guna 260 gm tepung gandum bersama 40 gm tepung jagung atau tepung beras dan tak payah letak emplex. Membakar apa saja jenis cookies, mesti pastikan betul-betul masak dan garing, barulah ia rangup.

 Saja letak resepi kat blog ni untuk rujukan. Esok tak tau nak masak apa lagi. Mungkin kalau ada yang menarik sikit, akan diletak jugalah dalam blog sebab itu saja idea yang ada untuk dicatat.