Saturday, 23 June 2012

SANTAPAN MINDA.




Salam... Semoga hari ini membawa keberkatan kepada kita semua. Aminn.....

Hari ni, hati rasa lapang dan ceria. Maklumlah, cuti hujung minggu.
 Jika semalam, mengupdate,santapan mengikut selera tekak, malam ini, saya paparkan santapan minda pula. Sengaja saya letakkan di sini supaya mudah untuk saya rujuk sebagai panduan di samping memperoleh ilmu  yang sangat bermanfaat untuk diri sendiri dan juga anak-anak.

Rata-rata kita memang mengamalkan ayat Kursi dalam kehidupan seharian tetapi tidak semua tahu akan fadhilat khusus yang diperolehi dari surah tersebut jika dibaca dengan penuh khusyuk. Jadi, di sini saya kongsikan apa yang saya perolehi dari fcbook 'JOM BACA AL QURAN' tentang Fadhilat-Fadhilat Membaca Ayat Kursi. Jutaan terima kasih kepada pemberi sumber kerana sudi berkongsi ilmu. Sungguh besar pahala yang beliau perolehi setiap kali orang membaca kiriman beliau apatah lagi jika diamalkan.Terima kasih juga kepada Kak Patimah, sahabat baik yang membuka laluan kepada saya bertemu sumber ini dan banyak lagi info-info lain tentang kelebihan Al Quran yang tiada taranya.


 

Ayat ini diturunkan setelah Hijrah. Semasa penurunannya, ianya diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliannya. Syaitan dan Iblis juga gempar kerana ia adalah satu perintang dlm perjuangan mereka. Rasulullah s.a.w. dengan segera memerintahkan Zaid Tsabit menulis dan menyebarkannya.

1) Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, Insyaallah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak dan harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah S.W.T

2) Mengikut keterangan dari kitab “Asraarul Mufidah”, sesiapa yang mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dgn berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.

3) Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, sesiapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya,Insyaallah Allah akan memncerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.

4) Rasullullah s.a.w bersabda bermaksud:”Sesiapa pulang kerumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya”.

5) Sabda Baginda lagi:”Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya drp kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar”.

6) Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai Allah dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad SAW.

7) Mereka yang beramal dengan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan dan hasutan syaitan.

8) Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah,akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.

9) Mengamalkan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanan.

10) Ayat Kursi yang dibaca dengan khusyuk, Insyaallah,akan menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

11) Jika anda berpindah kerumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu,eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali,insyaallah, mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar dari gangguan lahir dan batin.

12) Barang siapa yang membaca ayat Kursi apabila berbaring ditempat tidurnya,Allah akan mewakilkan 2 malaikat memeliharanya hingga subuh.

13) Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir setiap sembahyang fardhu,ia akan berada dlm lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.

14) Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir setiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut,dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur,Allah akan memelihara akan dia ke atas rumahnya,rumah jirannya dan ahli rumah-rumah disekitarnya.

15)Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah akan menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar,pahala nabi2 juga Allah akan melimpahkan padanya rahmat.

16) Barang siapa yang membaca ayat Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

17) Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir sembahyang , Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.

18) Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Sama-samalah kita menghayati dan mengamalkannya.























Friday, 22 June 2012

MELAYANI TEKAK & HOBI.....

Salam... Dah dua hari tak update. Sebenarnya tak ada idea nak bercerita. Selama ni pun sekadar bersembang kosong... entah ada atau tidak orang yang membacanya. Kalau ada tu, terima kasihlah kerana sudi melayani catatan yang merapu meraban ni. Paling tidak pun, mungkin sebagai catatan untuk diri sendiri saja.

Hari ni tiba-tiba teringin nak makan kek. Biasanya tak makan banyak pun. Memadai sepotong dua saja. Agak lama juga tak mem'baking' ni. Walaupun ia dah jadi hobi, tapi kalau lama tak dibuat, malas juga nak memulakannya kembali. Bila dah mula buat, selang sehari macam-macam idea datang dalam kepala. Mujur ada tukang makannya,samada di bawa ke sekolah atau balik kampung. Sedap ke tidak, tak perlu risau, gerenti habis.

Projek kali ini ialah Kek Kukus Prune. Dah buat banyak kali samada untuk makan sendiri, jamuan atau sebagai buah tangan ke majlis kenduri.



Kek ini agak mudah dibuat. Resepi diambil dari Koleksi Resepi Diana yang sumber asalnya dari Leen. Jutaan terima kasih kepada mereka.Selalunya saya ubah suai mengikut bahan yang saya ada.
Berikut adalah resepinya:

Bahan-bahan


250 gm butter
1 cawan brown sugar (resepi asal gula halus biasa tetapi perlu kurangkan sedikit sebab ia agak manis)
5 biji telur A
2 cawan tepung naik sendiri (saya tambah sedikit soda bicarbonate diayak bersama tepung)
1/4 cawan susu pekat
1/2 cawan air (Ada masanya saya guna susu segar atau susu UHT jika ada stok berlebihan)
15 biji prunes (kisar bersama air atau susu tadi, nak guna lebih banyak prunes pun boleh)
10 biji prunes dihiris kasar
Letakkan juga beberapa biji prunes di permukaan kek sebagai hiasan jika suka.


Cara-caranya


Pukul butter bersama gula sampai gebu. Kemudian masukkan telur sebiji-sebiji sambil diputar di antaranya sampai sebati. Campurkan pula susu pekat. Pukul lagi.Kemudian masukkan prune kisar  dan terus diputar. Akhir sekali, campurkan tepung sedikit-sedikit dengan kaedah kaup balik. Kemudian masukkan pula hirisan prune tadi.Tuangkan ke dalam acuan yang sesuai yang telah digris terlebih dahulu. Balut permukaan acuan dengan aluminium foil. Pastikan kukusan telah betul-betul panas. Kukus kek tadi selama satu setengah jam.

Biasanya, anak-anak kecil kurang suka kek begini. Kalau kek coklat atau kek cheese, sekejap je habislah mereka bedal. 3/4 kek ini saya bawa ke sekolah dan habis jadi hidangan minum petang kawan-kawan. Selebihnya akan dibawa pulang ke kampung esok hari.

Sekarang anak yang gemar makan sampai tengah malam tu dah pergi belajar semula selepas bercuti berbulan-bulan sebaik tamat peperiksaan SPM tempohari. Jadi, kuranglah aktiviti memasak maknya terutama di malam hari. Malah, untuk makan-makan biasa pun tak perlu berbagai jenis seperti selalunya. Bila makan, sering teringatkan dia sebab dia selalunya berselera dan makan banyak. Cuma yang pasti, kek prune bukanlah kegemarannya!!


Tuesday, 19 June 2012

SALAM AKHIR REJAB...SELAMAT DATANG SYA'ABAN


Malam ini, kita sudah menginjak ke penghujung Rejab atau lebih tepat lagi 30 Rejab 1433 Hijrah. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita dan ia tak mungkin dapat diputar kembali. Rejab, bulan Allah kini hanya tinggal sehari saja lagi. Bulan untuk kita bertaubat dan memohon keampunan. .




Selamat datang Sya'aban, bulan Rasulullah SAW, bulan kedua selepas Rejab yang penuh keberkatan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Dinamakan dengan Sya'aban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak"  

Bulan Sya'aban adalah kesempatan untuk kita memperbaiki diri dari segala macam cela manakala pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menenangkan hati dan jiwa.

 Antara kelebihan di bulan Sya'aban ialah:
  1. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda. 
  2. Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.
  3. Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan akhir Sha'aban, maka Allah akan menuliskan baginya pahala 70 orang nabi-nabi, pahala beribadat selama 70 tahun dan jika ia meninggal pada tahun itu maka ia akan mendapat pahala mati syahid.
  4. Kelebihan malam nisfu Sya'aban pula ialah sesiapa yang bangun mendirikan solat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca Al Quran dan sebagainya, maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat di samping doanya tidak akan ditolak.
  5. Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu Syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim. 
  6. Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah SAW "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
  7. Bertaubat sebagaimana diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Semoga kita semua memperoleh keampunan dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, amiin.....   ( Sumber: http://princessislam.blogspot.com/2009/07/kelebihan-bulan-syaaban.html  dan Al Azim.com)  

Tuesday, 12 June 2012

BUSY WEEKEND



Tiga hari tak update blog. Sangat-sangat busy. Awal pagi Sabtu bertolak ke Kampung Bahagia,
Teluk Intan, rumah sepupu yang kenduri kahwin. Rasa bersalah pula kalau sampainya lewat sebab masa kenduri kita dulu, ada di antara mereka yang sanggup bermalam. Selesai kenduri kendara tu, sambung pula perjalanan ke Shah Alam. Pukul 12.30 malam baru sampai ke rumah di sana. Bila dah lewat macam tu, sukarlah pula nak lelapkan mata. Sampai 2.30 am tak tidur juga lagi. Kesannya, badan rasa letih sangat.Tengahari Ahad wajib balik pula sebab nak kena kerja hari Isnin. Kalaulah masih cuti, mau tak balik dua tiga hari lagi.

Hari ini dah kena pergi kerja. Mood cuti belum habis lagi. Sebelum cuti, macam-macam plan nak dibuat dalam kepala. Kononnya nak kemas kawasan luar rumah, tapi sampai ke sudah hutan simpan tak terusik juga, walhal sekangkang kera saja pun. Konon, nak mengemas semua dalam rumah, nak ubah susun atur, tapi sampai hari ni dok tunggang langgang jugak. Konon, nak puasa seminggu penuh tapi jadi nya dua hari saja. Konon nak exercise lebih sikit tapi 20 minit pun tak sampai yang dibuat. Konon nak kemas buku-buku dan fail-fail semua dalam almari tapi tinggal berlonggok saja dalam bilik setor. Tak tau lah apa nak jadi. Setiap kali cuti,macam nilah, terlalu banyak kononnya! Satu pun tak menjadi.

Hari ni mood bekerja belum datang sepenuhnya. Kebiasaannya, sehari dua je yang tak bersemangat macam ni. Lepas tu, insyaAllah semuanya akan kembali normal. Shukurlah, ada juga cuti walau tak dapat melangsaikan semua yang dirancang.


                                        Anak-anak buah berposing sakan di Teluk Intan......


                                Kalaulah dapat beriadah di sini sambil makan-makan, tentu best kan...
                                                          

Friday, 8 June 2012

MOHON KEAMPUNAN.....



Salam Jumaat yang penuh keberkatan.

 Hari ni sudah menjangkau 18 Rejab. Tinggal beberapa hari saja lagi akan menjelang bulan Sha'aban dan dikuti oleh Ramadhan sebulan kemudiaannya. Tiga bulan yang dilimpahi dengan ganjaran pahala yang tiada sempadannya bagi setiap amalan yang kita lakukan. Mengerjakan solat sunat dan berdoa, berpuasa, berzikir juga bersedekah sebanyak-banyaknya selagi mampu dilakukan.Sama-samalah kita merebut ganjaran tersebut, selagi ada kesempatan. Masih ada 12 hari lagi untuk kita merebut pahala Rejab, bulan Allah yang penuh keberkatan ini.




REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai hasil.

REJAB menyucikan badan.
SYA'ABAN menyucikan hati.
RAMADHAN menyucikan roh.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN menghapus dosa.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.


Wednesday, 6 June 2012

INGATAN UNTUK ANAK-ANAK.....


Ini nak 'warning' anak-anak dan mungkin juga suami. Ada suami yang pengemas orangnya, begitu juga anak-anak. Namun tak kurang suami yang ambil mudah saja urusan harian dalam rumahtangga dan menyerahkannya bulat-bulat pada isteri. Awal pagi, rumah dah dikemas dan pinggan mangkuk dah dicuci oleh isteri. Bila petang, rumah dah macam tongkang pecah dan sinki penuh dengan pinggan-mangkuk kotor. Anak-anak apatah lagi, terutamanya anak lelaki. Semua kena diingatkan dulu.

                                                Jadi, sediakan peraturan ini untuk mereka........



Ada masanya para isteri ni pun 2 x 5. Kalau dah begitu, tak tau lah nak buat macamana lagi. Diri sendiri pun kadang-kadang macam tu. Bak kata orang, 'Paku dulang, paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih' Jadi kenalah disiplinkan diri sendiri dulu.


Saturday, 2 June 2012

KUCING OH KUCING



Salam, masih sempat berblog dari Puncak Alam. Bukannya apa, semalam datang disambut oleh seekor kucing yang sangat comel di depan pintu. Sangat gembiranya si kucing itu melihat tuan dan tetamunya datang. Mudah-mudahan murah rezeki kerana khabarnya kucing adalah binatang yang sentiasa mendoakan insan yang tidak menganiayainya dan memberinya rezeki. Tak percaya, tengoklah gambar ni.......


    
Lihatlah, simbolik yang ditunjukkan oleh kucing ini seakan-akan sedang berdoa sedangkan manusia masih ramai yang terlupa melakukannya.


                                                     Cerdik kucing-kucing ni. Mengintai apa tu?


                                                           Gambar ehsan dari Google.