Friday, 17 August 2012

BELUM SELESAI...


Banyak betul kerja yang nak dibuat. Sudahlah tiada seorang pun pembantu, semua urusan dibuat sendiri. Rumah masih semak dan tak terurus. Mujurlah semalam dan hari ini cuti. Tapi bila difikir nak mengganti cuti tu semula, haii... lebih baik pula jika tak cuti. Bila ada di rumah,dapatlah menyiapkan kuih-kuih raya ni. Ikutkan hati, memang malas nak membuatnya tapi kerana anak yang minta, terpaksalah menggagahkan diri.

                               Biskut Coklat Chips. Resepi yang wajib ada setiap tahun.

Biskut Nestum yang resepinya telah ditepekkan pada entri lepas. Bentuk kukis seakan sama saja, maklumlah nak cepat, semuanya dicampak-campak saja dalam oven.

Satu lagi request dari anak ialah Tat Nenas. Nenas dah dibeli tapi belum lagi diproses. Entahlah ada masa ke tidak, maklumlah, esok pastinya lebih sibuk dengan aktiviti lain. Nak kemas rumah, nak buat kek, nak memasak lagi, memang tak menang tangan.


London Almond, satu lagi kukis yang wajib ada sebab ramai yang suka. Resepi rasanya, semua orang tahu tapi yang ini saya beli saja sebab cara membuatnya yang agak renyah emnyebabkan saya malas menyediakannya.

Tukar Channel.........

Walau masih ada sehari lagi untuk kita berpuasa, tapi rasa nya taklah terlalu awal untuk saya memohon maaf kepada sesiapa yang membaca blog ini dan mengenali diri saya. Tak pandai nak buat kad raya pun, jadi google saja yang sedia ada. Harap tuan punya mengizinkan.
               

    


Moga segala amalan kita sepanjang Ramadhan kali ini diterima olehNya. Oleh itu, sehari terakhir yang tinggal ini, sama-sama kita imarahkan semaksima yang termampu. Kita sambut kedatangan Syawal dengan kesyukuran atas kejayaan setelah sebulan berpuasa. Sama-samalah nanti kita isikan Syawal kita dengan amalan sunat berpuasa enam. Moga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik. Aminn..

Tuesday, 14 August 2012

PROJEK RAYA..



Salam, Nampaknya, tinggal lima hari sajalah lagi kita berada di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Hariraya AidilFitri kian menghampiri. Mau tak mau, walau malas macamana pun, projek untuk raya harus dimulakan jua. Anak-anak siap menelefon minta dibuatkan biskut itu ini. Tahun-tahun lalu, mereka tak kisah sangat nak membawa bekal kuih & biskut bila pulang semula ke tempat mereka selepas raya nanti. Walhal masa tu, kita rajin bukan main mengukis dan membakar ni. Tapi,lain pula kali ini, siap bagi tau awal-awal. Kita pula,mood tak datang-datang. Malas teramat sangat. Baru malam minggu lalu, menggagahkan diri memulakan projek. Tak siap malam, sambung pula ke pagi. Inilah hasilnya......


      Biskut Samperit, resepi lama yang masih digemari oleh sesetengah orang termasuklah diriku. Bunganya memang 'fail' kelopak pun tak seimbang.

Ini resepi pemberian Pn Latipah Meor (Versi gebu dgn penggunaan byk telur. Tak sesuai bagi yang tak suka telur tapi jika gemar samperit gebu, cubalah yang ini)

Bahan-bahan:

Butter secukupnya (anggaran sebuku lebih sedikit)
150 gm gula icing
1 tin tepung jagung Brown & Polson
80 gm tepung gandum
4 biji kuning telur
Sedikit esen Vanilla

Cara-cara:

Pukul butter dan gula sebentar saja. Masukkan kuning telur dan esen, pukul sedikit lagi. Jangan diputar lama, takut adunan jadi terlalu lembut.  Gaulkan bersama tepung-tepung dan tekan dengan acuan samperit. Bakar.

Resepi Samperit ini pula pemberian Kak Patimah Alyafie. Terima kasih banyak-banyak. Sah-sah sedap bagi yang sukakan samperit agak rangup.


Biskut Samperit

Bahan-bahan:

2 cawan butter
13/4 cawan gula icing
2 cawan tepung jagung
2 cawan tepung ubi
2 cawan tepung gandum
2 biji kuning telur
Sedikit esen vanilla

Cara-cara:

Sama seperti di atas.

Bercadang nak buat satu adunan lagi menggunakan resepi ini.

       Biskut Bugis. Lagilah buruk rupanya sebab versi nak cepat siap tapi bila dimakan rangup krup krap. Tak adalah nak berterap beracuan bagai. Cuma canai dan potong dengan pisau, sekejap saja siap. Silap-silap tengok rupa kuih, tak teringin orang nak makan.

Ingat lepas ni nak buat biskut nestum dan biskut coklat chips pula. Tepek resepi dulu untuk rujukan sendiri. Fotonya kemudian. Resepi sumbangan Maklang Azie. Terima kasih banyak-banyak.



Biskut Nestum

Bahan-bahan :

250 gm butter
100 gm chocolate chips
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung
3 cawan nestum
1 cawan gula caster
1 biji telur
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya :

1. Pukul butter dengan gula hingga putih.
2.Masukkan telur dan esen vanila... kacau sebati
3.Masukkan semua tepung dan nestum... masukkan kismis... uli hingga sebati
4.Bentukkan dan bakar dalam oven selama 15 minit dengan suhu 165'c(ikut oven). 



Memang kena marathonlah dua tiga hari ni. Mana nak kemas rumah lagi. Hari-hari pergi kerja, sah-sah rumah macam tongkang pecah. Dan yang paling utama, untuk diri sendiri dan seluruh umat Islam juga, walau busy macamanapun, ganjaran sepuluh hari/malam terakhir Ramadhan mesti direbut juga. Moga kita dikurniakan kesihatan yang baik untuk melakukan kesemuanya..



Friday, 10 August 2012

DUA MINGGU SUDAH...



Dah bersawang nampaknya blog ku ini. Dua minggu lebih tidak dipedulikan. Tak ada apa yang hendak diceritakan pun. Putaran jam di bulan puasa ini pula terasa sangat pendek dan berlalu dengan pantas sekali. Baru saja lepas bersahur, tau2 dah senja. Beberapa hari ni, demam selsema dan batuk melanda. Sepanjang masa badan terasa letih dan mata asyik nak terlelap. Lagilah malas dibuatnya.  Hidung asyik tersumbat, tak puas bernafas. Jadinya, masak pun malas, apa lagi nak membuat kuih raya. Kelmarin dulu, ini saja hidangan yang larat dimasak. Paling simple, main campak-campak saja. Untuk makan diri sendiri, kebetulan hbby berbuka di surau.


                                                Bihun sup paling ringkas dan kurang bahan.

Semalam, pertama kali menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan. Pertama kali juga membeli juadah berbuka sepenuhnya dari lauk, kuih sehingga ke minuman. Tapi, bila berbuka tak habis dimakan pun. Tak semua sesuai dengan selera kita selain dari duit yang banyak habis untuk membeli. Mujurlah, belakang rumah ada banyak kucing, jadi tak lah dibuang semuanya. Lauk pauk tu jadi rebutan kucing pula. Hari ini, walau malas dan tak sihat, tetap akan memasak sendiri juga.

Tinggal lapan hari lebih kurang saja lagi kita berpuasa. Ramadhan sudah menuju ke penghujungnya. Terasa sayang dan sayu di hati bila Ramadhan hampir berlalu pergi. Inilah bulan yang sangat istimewa yang hanya kita lalui setahun sekali sahaja. Malam-malam terakhir Ramadhan ini adalah waktu yang sangat makbul doa kita jika dipohon dengan ikhlas beserta amal ibadat dan diizinkan oleh Allah. Malam Lailatul Qadar amat dinanti-nantikan. Mudah2an kita sama-sama mendapat ganjaran istimewa di malam tersebut. Moga dipanjangkan juga umur kita dan dikurniakan kesihatan yang baik sehingga ke Ramadhan di tahun-tahun akan datang, aminn.......
Jadi, untuk lapan hari terakhir ini, harapnya sihatlah tubuh badan untuk mengisi waktu-waktu yang amat bermakna bagi seluruh umat Islam.

Selamat meneruskan ibadah puasa.