Friday, 19 July 2013



DAH TERLEBIH RAJIN PULAK NI...

Hari ni mood mengupdate blog sedang di aras tertinggi. Sebelum ia merudum semula ke tahap kritikal, lebih baik cepat-cepat mencatat apa yang teringat dalam kepala. Disebabkan hariraya dah tak lama lagi, resepilah pilihan utama bertakhta di sini. Resepi ni wujud dedulu lagi masa saya di awal secondary school. Masa tu, punyalah kemaruk dengan biskut ni tapi lepas tu bertahun-tahun resepi ni lesap. Beberapa bulan lalu masa berkemas rumah terjumpalah pula. Bunyinya macam hebat sangat kan... walhal resepi biasa-biasa saja. Kena catat juga kat sini untuk rujukan sendiri, takut nanti hilang semula. Nak letak gambar, tak ada pulak gambarnya sebab masa buat dulu-dulu, kamera pun belum beli maklumlah budak sekolah lagi, handphone belum wujud apatah lagi internet. Ini sajalah yang ada.

BISKUT ONDE-ONDE

 Bahan-bahan :

1 cawanbutter
1 cawan gula halus
2 biji telor asingkan putih dan kuningnya.
1 tin kelapa kering
1 cawan tepung kastad
1 cawan tepung jagung
2 cawan tepung naik sendiri
Sedikit esen vanilla dan pewarna hijau.
Kismis atau sultana untuk dijadikan inti

Cara-caranya:

Pukul butter dengan gula, kemudian masukkan kuning telor, esen vanilla dan pewarna hijau. Bila dah rata masukkan tepung-tepung tadi dan uli sampai sebati. Adunan akan jadi lembik tetapi jangan ditambah tepung. Biarkan beberapa minit. Kemudian bentukkan bulat dengan meletakkan kismis sebagai inti. Leperkan sedikit, sapu putih telor dan golekkan di atas kelapa kering. Kemudian bolehlah di bakar.

Punyalah antik biskut ni sampai sukatan nya pun masih menggunakan cawan. Kalau nak biskut yang kurang memerlukan beraneka bahan dan modal pun jimat, bolehlah membuat yang ini. Tapi kalau ada  duit, lebih baik tunjuk-tunjuk saja dan dapatlah cookies yang cantik-cantik.

Wednesday, 17 July 2013


LAMANYA MENGHILANG ...KEMANA YA?

Oh! tidak kemana -mana... hanya mood berblog semakin menipis...nipis...

Salam...Selamat beribadat di bulan Ramadhan yang penuh barakah. Bulan yang lain pun kita beribadat juga tapi di bulan ini, kenalah gandakan lagi kerana pahalanya juga berganda-ganda (pesanan untuk diri sendiri sebenarnya). Lepas berbuka selalunya akan terasa letih ditambah dengan kekenyangan, sebab tulah kena selalu mengingatkan diri akan kelebihan bulan Ramadhan, jangan sampai ia berlalu sia-sia.

Tak lama lagi nak raya, jadi mula lah nak update resepi sebagai rujukan untuk diri sendiri dan rakan-rakan yang rajin nak membuatnya. Ada banyak versi resepi ni sebenarnya tapi perbezaan cuma sedikit-sedikit saja.. Saya dah cuba berbagai versi dan memang menjadi. Bezanya cuma dari segi kelembutan dan kemanisannya.

 

KEK KARAMEL

Bahan-Bahan:

2sudu gula pasir utk buat karamel
(tabur dalam loyang kek dan bakar dalam oven sampai berwarna kuning-coklat)
*Keluarkan dari oven dan sejukkan.

Bahan A
300 gm susu cair
90 gm gula pasir
1 sudu teh esen vanilla atau esen pandan
5 biji kuning telor gred A
*Kacau kesemuanya dalam satu mangkuk menggunakan whisk sahaja sampai gula hancur. *Kemudian tuang ke dalam loyang karamel yang telah pun sejuk tadi. Ketepikan.


Bahan B
70 gm gula pasir
3 biji kuning telor
*pukul dulu dengan tangan sebentar.

140 tepung gandum
1 sudu teh baking powder
*ayak bersama.

135 gm air
45 gm minyak jagung.
*masukkan tepung dalam adunan telor sambil dikacau dengan whisk, tambah air sedikit-sedikit sampai adunan sebati. Akhir sekali masukkan minyak jagung dan kacau sebati.

Bahan C
5 biji putih telor
70 gm gula pasir
½ sudu teh cream of tartar (saya ganti dengan secubit garam sebagai alternatif kerana bimbang cream of tartar tidak halal)
*Pukul perlahan dulu sekejap kemudian bergerak ke kelajuan paling tinggi sampai jadi meringue. Bila ditelungkup bekas, adunan tak jatuh.

Akhir sekali gaul B dan C sampai bersatu dan tuang ke dalam acuan berisi karamel tadi. Acuan jangan digris. Bakar secara kaedah steam-bath atau bain-marie.